#notaduit oleh Izwan Robotys

Dalam formula kewangan yang kita maklum ada satu komponen yang sangat pelik.

Ya, dalam formula berikut ada satu komponen yang nampak biasa, tetapi apabila kita fikirkan dengan mendalam ada banyak perkara pelik padanya:

Pendapatan - Simpanan - Insurans - Hutang - Belanja = Lebihan

Nampak?

Komponen yang paling pelik itu adalah komponen Belanja. Ya, komponen Belanja! Ia nampak normal sahaja dala formula kewangan tersebut, tetapi ia mempunyai satu karakteristik yang sangat pelik:

Kita TERLALU fokus pada berbelanja TETAPI kita tidak SEDAR apa yang belanja!

Bagaimana perkara yang kita sangat fokus ke atasnya menjadi perkara yang kita tidak sedar?

Entah, saya pun tidak pasti punca ia jadi sebegitu.

Namun mari kita fikirkan sama-sama senario-senario seperti berikut:

1) Gaji kecil dan tidak pernah cukup setiap bulan. Tetapi ada rakan yang sama bergaji kecil elok sahaja.

2) Gaji besar, tapi cukup bulan habis, lagi sedih: tidak tahu habis beli apa.

3) Berniaga besar, untung banyak, tetapi apabila jualan merosot, hidup terasa sangat sempit.

Apa persamaan pada semua senario-senario di atas?

Kemungkinan besar orang dalam senario tersebut tidak TAHU apa yang mereka beli dengan gaji mereka. Apabila tidak tahu, janganlah kata mahu merancang perbelanjaan, jauh sekali mahu MENGAWAL perbelanjaan.

Ya, itulah kepelikan komponen belanjawan ini.

Kita semua bekerja untuk berbelanja, tetapi kita tidak tahu apa yang kita belanjakan!

Gaji yang masuk seperti air sungai yang mengalir. Masuk dan keluar begitu sahaja. Walhal kita berpenat lelah mengejar rezeki tetapi seperti tidak terasa apa manfaatnya gaji yang masuk itu.

Maka, jangan jadikan belanjawan anda satu perkara yang pelik lagi. Ambil kisah akan segala perkara yang kita beli. Pelajari habit diri kita dalam berbelanja.

Cara paling mudah adalah dengan meminta resit atas semua belian, atau merekod setiap belian menggunakan pelbagai aplikasi 'bill tracker' yang banyak terdapat dalam appstore/playstore smartfon kita.

Setiap malam atau setiap hari ahad kita ambil sedikit masa untuk menyemak apa yang telah kita belanjakan sepanjang masa.

Apabila kita sudah memahami tindak-tanduk dan corak belanjawan kita, kita akan mula nampak banyak lubang-lubang belanjawan yang kita boleh tutup dengan mudah.

Itu sahaja sudah menjadikan aliran tunai kita lebih baik daripada sebelumnya!

Baca Lagi Banyak Artikel Tentang Nota Duit dan Kewangan Peribadi:

Jika anda adalah orang yang berusaha bangkit dari kegagalan kewangan, atau pemuda pemudi yang baru mengenal dunia kewangan, sambung baca lebih banyak lagi artikel duit di:

All Rights Reserved Robotys.net © 2015