#notaduit oleh Izwan Robotys

Pendapatan - Simpanan - Insurans - Hutang - Belanja = Lebihan

Itu formula belanjawan kita. Kita gelarkan ia 'formula' kerana ia adalah struktur paling asas dalam membangunkan pelan kewangan kita. Ini pelan kewangan peribadi ya. Pelan kewangan syarikat lain ceritanya.

Formula tersebut terdiri daripada 6 komponen yang saling berkait.

Fungsi bagi setiap komponen tersebut adalah seperti berikut:

Pendapatan

Ini komponen yang semua orang jelas fungsinya kerana ia memang jelas nyata berlaku. Kita memang nampak yang kita akan diberi habuan setelah bekerja.

Fungsi pendapatan adalah untuk menjadi kek yang akan dibahagi-bahagikan kepada 'mulut' yang lain.

Pendapatan juga adalah satu-satunya komponen yang positif, atau komponen yang membawa masuk duit untuk dibahagi-bahagikan. Oleh yang demikian, kita juga sedia jelas bahawa cara paling mudah meningkatkan lebihan adalah dengan meningkatkan pendapatan dengan syarat komponen yang lain kekal sama.

Tiada guna menaikkan pendapatan tetapi perkara yang lain naik berkali ganda. 'Serupa tak payah' bak kata pakcik di kampung.

Simpanan

Ini adalah komponen yang paling kasihan. Kasihan kerana semua kita tahu menyimpan itu penting. Semua kita tahu konsisten menyimpan adalah kunci kaya harta. Tapi hanya segelintir sahaja yang menyimpan.

Ini kes 'Ramai-ramai cakap tak serupa bikin' baka kata pakcik di kampung. #eh

Fungsi komponen ini ada tiga, iaitu:

1) Membina sikap 'Berjimat cermat'. Ini adalah sikap yang penting dalam dunia yang penuh pancaroba ini.

2) Membina 'tapak asas' atau modal untuk pelaburan yang memerlukan modal yang besar (seperti hartanah dan sebagainya)

3) Sebagai plan B jika berlaku kecemasan yang tidak dilindungi insurans atau memerlukan cash dengan pantas.

Insurans

Satu lagi komponen yang kasihan. Sama seperti simpanan, kita semua tahu pentingnya ada insurans, tapi ..... tetuan pun faham-fahamlah.

Rakan saya, Tuan Syakir Ghaffar (https://www.facebook.com/mohd.s.ghafar) berkongsi tentang fungsi insurans semasa sesi sembang kopi dengan beliau tempoh hari:

"Fungsi utama insurans, yang pertama dan paling penting, adalah melindungi ahli keluarga kita jika DAN semasa ditimpa musibah"

Idea utamanya adalah insurans akan mengambil alih tanggungjawab kewangan kita jika berlaku kejadian yang tidak diingini. Maka ahli keluarga kita tidak terbeban dengan hutang kita dan kehilangan sumber pendapatan daripada pihak kita.

Insurans ini tanda tanggungjawab dan juga simbol kasih sayang kita kepada keluarga kita. :)

Terdapat pelbagai jenis insurans yang melindungi pelbagai keluarga dari pelbagai perkara kewangan. Kita perlu faham apa yang kita bayar untuk melindungi apa dan bagaimana menguruskannya apabila berlaku kemalangan.

Hutang

Ini semua kita rakyat marhaen sangka kita tahu fungsinya, namun semua kita (rakyat marhaen tadilah) tetap menyalahgunakannya. Samada secara sedar atau tidak, ramai kita yang menyalahgunakan hutang dalam belanjawan kita.

Fungsi utama hutang adalah membantu pembelian 'big ticket item' bak kata Robert T. Kiyosaki. Big Ticket Item pada rakyat marhaen ada dua sahaja, iaitu 1) Kereta dan juga 2) Rumah

Fungsi hutang adalah untuk membeli dua perkara tersebut sahaja. Tidak lebih dan tidak kurang.

Jadi, jika kita ingin berhutang untuk perkara peribadi selain daripada beli rumah dan kereta, contohnya Smartphone Galaxy Note S6, maka berhenti dan fikir "Adakah aku mampu membayar penuh semua hutang ini sebelum hujung bulan?". Jika tidak mampu, berhenti melangkah, dan patah balik. Balik rumah dan buka tabung simpanan baru dengan nama 'Tabung Note S6'. Mula menabung.

Belanja

Ok, ini semua orang sangat pakar. Semua orang itu termasuk orang yang kaya-raya. Pernah seorang superstar baru basketball pulang ke rumah cheque royalti bernilai satu juta usd. Esok malamnya beliau sudah habiskan kesemua satu juta tersebut.

Ya, nafsu manusia ibarat lubang hitam. Wang mengalir bagaikan sungai jika dibiarkan nafsu beraja dijiwa.

Fungsi komponen ini adalah untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam gaya hidup yang kita selesa.

Setiap gaya hidup memerlukan belanja bulanan yang berbeza.

Gaya hidup pekerja kerani berbeza dengan gaya hidup cikgu.

Gaya hidup pekerja kilang berbeza dengan gaya hidup tauke kilang.

Setiap gaya hidup memerlukan jumlah belanja yang berbeza.

Maka pilihlah gaya hidup yang mana jumlah belanjanya tidak melampaui batas.

Kita perlu ingat, jadi gembira bukan bergantung pada gaya hidup, tetapi datang daripada dalam diri yang puas hati dengan diri sendiri, dan juga dikelilingi oleh insan tersayang.

Lebihan

Ini adalah komponen yang jarang kita sedar kepentingannya. Malah, ia seperti oksigen. Ia ada di mana-mana, tetapi ia sangat penting. Cuba tahan nafas selama 10 minit.

Tak boleh? Rasa nak mati? Ya, itulah pentingnya komponen ini.

Fungsi Lebihan dalam belanjawan bulanan adalah untuk kita gunakan pada AKHIR bulan untuk melabur ke dalam diri sendiri.

Sebarang bentuk perkara yang boleh meningkatkan nilai diri kita boleh didapatkan dengan menggunakan Lebihan.

Antara perkara yang paling murah dan paling berbaloi dalam meningkatkan nilai diri adalah buku, kredit telefon dan seminar ilmu.

Buku boleh menambah ilmu di dada berkaitan apa-apa bidang sekalipun. Maka nilai diri kita akan meningkat. Malah, buku boleh menimbulkan kepuasan dari dalam diri kita. Maka kita mampu gembira walaupun gaya hidup kita di bawah paras gaya hidup rakan-rakan kita yang lain.

Mengapa Kredit telefon dan seminar? Kerana networking adalah kunci yang membuka pintu peluang terbuka luas. Seminar adalah tempat kita berkenalan dengan mereka yang sama minat dan tujuan dengan kita manakala kredit telefon untuk kita membina relationship dengan kenalan baru kita.

Bergesel bahu dengan orang lain akan membuka pintu peluang dengan banyaknya kepada kita.

Baca Lagi Banyak Artikel Tentang Nota Duit dan Kewangan Peribadi:

Jika anda adalah orang yang berusaha bangkit dari kegagalan kewangan, atau pemuda pemudi yang baru mengenal dunia kewangan, sambung baca lebih banyak lagi artikel duit di:

All Rights Reserved Robotys.net © 2015